PTMN 2024

Thursday, 21 November 2024

PERSIDANGAN PERUBATAN TRADISIONAL MELAYU NUSANTARA (PTMN) 2.0

Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) akan menganjurkan Persidangan Perubatan Tradisional Melayu Nusantara (PTMN) kali kedua tahun 2024. Persidangan ini akan diadakan selama 2 hari bertempat di Dewan Utama Kompleks Akademik UCMI, Kampus Batu Muda. Penganjuran persidangan pada kali ini adalah susulan dari penganjuran PTMN kali pertama yang telah diadakan pada Januari 2022. Persidangan kali ini diadakan bagi mengumpulkan pengamal-pengamal perubatan melayu tradisional, ahli akademik, pihak industri dan wakil dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ia bertujuan untuk berkongsi pandangan, pembentangan kajian kes dan memperkasakan perubatan tradisional melayu di kalangan masyarakat serta ke arah integrasi amalan perubatan melayu dan perubatan moden. Perasmian persidangan akan dirasmikan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

LATAR BELAKANG

Penganjuran Persidangan Perubatan Tradisional Melayu Nusantara (PTM) kali pertama telah diadakan secara hibrid pada 26 dan 27 Januari 2022 bertempat di Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) dengan kolaborasi bersama Pengamal Perubatan Melayu Tradisional dan Komplementari seluruh Malaysia.

Kaedah perubatan tradisional dan komplementari merupakan salah satu bidang yang diperakui dalam sistem penjagaan kesihatan Malaysia. Dasar Perubatan Tradisional dan Komplementari (PTK) Kebangsaan telah dibangunkan pada tahun 2001 dan disemak pada tahun 2007. Dasar ini adalah penting dalam merangka Pembangunan PTK di Malaysia dan digunakan sebagai satu panduan bagi mencapai matlamat yang ditetapkan. Berdaftar di bawah Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia dan dikawal selia pelaksanaannya di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775).

Persidangan tahun 2024 kali ini bakal mengangkat dan memartabatkan lagi bidang PTK kepada masyarakat umum. Persidangan ini bertemakan Ke arah Integrasi Amalan Perubatan Tradisional Melayu dan Perubatan Moden. Bidang amalan yang akan dibincangkan adalah Urut melayu, Bekan Perubatan Tradisional, Herba Perubatan Tradisional Melayu, Penjagaan Ibu dan Anak selepas bersalin serta Senaman dan amalam kerohanian. Melalui persidangan ini juga, skop pelaksananaan bidang PTM dapat disebar luas dan difahami dengan lebih jelas melalui aturcara yang akan disusun secara terperinci sepanjang tempoh dua (2) hari pelaksanaan.

OBJEKTIF

  1. Menyediakan platform penyebaran bidang Perubatan Tradisional Melayu kepada umum.
  2. Menghimpunkan pengamal berdaftar dari dalam dan luar negara bagi berkongsi pandangan berkaitan sistem pelaksanaan PTM dan mengemaskini ilmu kemahiran/kaedah rawatan di kalangan pengamal
  3. Mengenalpasti peranan badan-badan atau agensi-agensi yang mengurus tadbir bidang PTM beserta konsep pemakaian Akta 775.

MATLAMAT

  1. Meningkatkan pemahaman masyarakat umum berkaitan bidang PTM.
  2. Mengenali dan memahami sistem pelaksanaan bidang PTM di Malaysia dan Nusantara
  3. Memahami aspek kawal selia bidang dan pengamal PTM melalui peranan perundangan.